Persoalan Demi Persoalan

Posted: May 28, 2008 in Uncategorized

28 Mei 2008 | Pohon Mempelam

Semakin hari semakin layu. Apa yang layu? Daun di pohon mempelam? Pohon mempelam sudah habis ditebas. Tiada lagi daun-daun pelam. Tiada lagi binatang kerengga membuat sangkar di dedaun pohon mempelam. Mantan pohon mempelam tidak lagi boleh menabur bakti lagi di kampung kami. Jadi apa lagi yang layu? Pokok apa yang layu? Kedengaran sana-sini perkataan layu dan kedengaran juga orang berkata kita semakin layu? Betul kah kita semakin layu?

Kita semakin layu? Siapakah Kita? “Kita” itu adakah untuk kami? Adakah maksudnya untuk Orang Malaysia? Adakah untuk orang Melayu? Adakah untuk peribumi tanah melayu? Dan adakah untuk Orang Islam di Malaysia dan di seluruh dunia? Dan siapa pula Peribumi itu? Adakah ia membawa maksud “peri-peri” bumi di tanah malaya? Patutkah kita letakkan taraf bumiputra itu setaraf dengan orang melayu? Dan mengapa pula Tanah Malaya dipanggil Tanah + Malaya ? Dan benarkah Malaya itu perkataan Inggeris yang membawa maksud Melayu? Dan mengapa perkataan itu dicampurkan Tanah (Bahasa Melayu? Bahasa Malaysia?) dengan Malaya yang berbahasa Inggeris?

Siapakah orang melayu? Dimana asal usul orang melayu? Dan mengapa ia dipanggil Me+La+Yu? Adakah maksudnya Memang Layu sampai bila-bila? Mana asal usulnya? Ada yang kata orang Melayu ini campuran Jawa + Minang + Bugis + Kaum dari Indonesia + Dan lain-lain. Ada pula yang kata orang Melayu ini adalah segolongan manusia yang datang dari orang laut. Dimana letaknya taraf orang Melayu ini? Bangsa atau Kaum? Bangsa Melayu atau Kaum Melayu? Bumiputera? Mengapa di Malaysia sahaja yang bila kita cakap orang Melayu, orang melayu itu mesti beragama Islam? Mengapa tidak di Indonesia? Mengapa tidak di Thailand? Mengapa tidak di Filipina? Mengapa tidak di Afrika Selatan? Mengapa tidak di Singapura?

Relevankah Melayu di Malaysia? Mengapa hanya kebanyakan orang melayu memperjuangkan Melayu di Malaysia? Mengapa tidak memperjuangkan Melayu di Singapura, Indonesia, Thailand, Afrika Selatan dan Filipina? Adakah kita tarafkan seseorang itu berbangsa melayu atau kaum melayu berdasarkan bahasa? Atau agama? Mengapa UMNO memperjuangkan Melayu di Malaysia? Adakah disebabkan Orang Melayu di Malaysia ini secara majoritinya beragama Islam?( tidak boleh kata SEMUA sebab kini bukan semua orang melayu di Malaysia beragama Islam) Adakah orang melayu sendiri memperjuangkan Orang Islam Melayu di Malaysia? Mana yang penting? Agama atau Bangsa atau Kaum?

Mengapa ada orang sedih melihat bangsanya dijajah? Dan sedih membiarkan bangsanya dihina? Adakah maksudnya benar-benar bermaksud Orang Melayu? atau sedih melihat Orang Islam di Malaysia?

Jika “Kita” itu memberi maksud Orang Melayu, Dan “Orang Melayu” itu bermaksud orang Melayu di Malaysia, Dan “Orang Melayu Malaysia” itu Memberi maksud Orang Islam, benarkah Orang Melayu itu semakin Layu? Atau lebih tepat Orang Melayu Islam di Malaysia semakin Layu?

Jika benar Orang Melayu Islam semakin layu, siapa yang ingin memekarnya? Dan ada juga pertanyaan mengapa memperjuangkan Orang Melayu Islam? Mana letaknya bangsa lain yang beragama Islam? Adakah ini kerana Orang Melayu adalah Bangsa Majoriti di Malaysia? Kaum Majoriti di Malaysia?

Siapa nenek moyang kita? Adakah mereka benar-benar orang Melayu? Dan adakah orang Melayu ini benar-benar lemah? Benarkah layu dari dulu lagi? Benarkah orang melayu ini sememangnya layu sejak 450 tahun yang dahulu? Mengapa kita layu? Disebabkan pemikiran kita? Makanan kita? Peradaban kita? Budaya kita? Sikap kita? Terlalu manjakah kita dengan apa yang diberi dan apa yang telah diwarisi sejak zaman kegemelingan orang melayu itu? atau adakah disebabkan anasir-anasir jahat dari luar yang membarahi orang melayu? Bagaimana mereka lakukan?

Televisyen, Internet, Berita Akhbar, Surat menyurat; ini tidak wujud pada 450 tahun dahulu. Jadi adakah ini sebabnya orang melayu kini semakin layu? Adakah orang melayu terlalu teruja melihat bangsa-bangsa lain datang menghinggapi dan menyebarkan barah di pemikiran dan budaya orang Melayu? Adakah itu sebabnya Orang Melayu Islam menjadi Layu?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu yang berikrar dan mengaku Allah itu bukan tuhan mereka?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu tidak mahu berbalas-balas senyuman antara satu sama lain?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu tidak maju dan membina?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu yang telah maju tetapi masih lagi bersikap sombong dan angkuh?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu yang lupa bila mereka berjaya?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu bersikap tamak dan haloba?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu menggadaikan harta pusaka nenek moyang orang melayu itu?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu berpakat dengan musuh agama?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu tidak boleh berdiri di atas kakinya sendiri? Hinakah kakinya itu?

Kalau tidak Layu, mengapa sikap dengki sesama melayu sendiri semakin membusuk membunuh bangsa?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu tidak mahu berpikir diluar kotak? Kotak apa? Kotak kasut? Kotak mancis? Kotak rokok?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu tidak mahu menegakkan kebenaran yang melibatkan Agama dan Orang Melayu itu sendiri?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu tidak mahu mengaku kesilapannya? Segan? Ego? Bongkak?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu masih menjilat budi orang lain? Dan tidak mahu menabur budi?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu bermain hantu, pocong dan hantu raya?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu tidak mahu menaikkan orang melayu itu sendiri?

Kalau tidak Layu, mengapa ada orang melayu tidak mahu mengaku melayu?

Perlu ke pohon mempelam bertanya-tanya seperti ini? Masih relevankah jika dipersoalkan tentang perkara ini di abad ke 21? Masih relevankah jika dipersoalkan tentang perkara ini tatkala era bangunan-bangunan berkejaran mencapai angkasa? Perlukah pohon mempelam membangkitkan dan bertanyakan tentang sejarah? Penting sangatkah sejarah ini? Perlukah catatan sejarah dalam kehidupan seharian? Keep moving on bak kata sesetengah orang. Benda yang dah lepas, biarkan lah berlalu. Tak perlulah kita menoleh kebelakang lagi? Adakah disebabkan sejarah orang melayu kehilangan tanah dan harta? Adakah disebabkan sejarah orang melayu tidak mahu melawan? Kenapa perlu dibangkitkan tentang tanah dan harta? Bukankah Harta dan Tanah itu tidak boleh dibawa ke alam lain? Mengapa perlu dibangkitkan? Disebabkan anak cucu dan cicit untuk nikmati? Mengapa orang melayu mahu jadi cantik tetapi tidak mahu mengerah kudratnya?

Mengapa perlu risau dengan kehilangan Melayu sedangkan “Takkan Melayu Hilang di Dunia” tetapi Persoalannya; apa gunanya kalau kewujudannya tidak dirasa.

Salam dari pohon mempelam.

Advertisements
Comments
  1. […] yang nak dipikirkan?? Persoalan demi persoalan pun tak terjawab lagi, ada hati nak menjawab persoalan yang lain” selamba ahli majlis peringkat […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s